BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, August 20, 2010

Langkah mengatasi : Pihak berkuasa (Fikri - 204528)


Bagi membendung masalah lumba haram yang semakin berleluasa, pihak berkuasa memainkan peranan yang penting supaya masalah ini dapat di kawal dengan segera.  Antara tindakan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa adalah perlu lebih serius mengadakan kempen untuk mengatasi masalah lumba haram.  pihak berkuasa perlu mengadakan kempen ini secara berterusan untuk memberi kesedaran kepada golongan muda supaya mereka tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram serta lebih menghargai diri  dan nyawa mereka sendiri.  Kempen ini juga boleh dilakukan di peringkat sekolah supaya dapat memberi pendedahan awal kepada remaja mengenai  keburukan sekiranya terlibat dengan lumba haram.  Selain itu, pihak berkuasa harus mengadakan operasi sekatan jalan raya untuk mengawal perlumbaan haram yang sering dilakukan pada hujung minggu.  Operasi tersebut perlu dilakukan sekerap mungkin terutamanya di lokasi yang menjadi tumpuan"mat rempit" untuk melakukan perlumbaan haram agar kegiatan tersebut tidak terus bermaharajalela.

Langkah mengatasi : Institusi Pendidikan (Ana-204430)

Selain ibu bapa, pihak sekolah atau institusi pendidikan turut memainkan peranan penting untuk membendung masalah ini.  Antara langkah yang boleh diambil oleh institusi pendidikan bagi mengatasi masalah lumba haram adalah dengan mewujudkan subjek Pendidikan Sivik di sekolah bagi menerapkan nilai-nilai murni dalam diri setiap pelajar.  Pendidikan sivik perlu diserapkan ke dalam diri setiap pelajar supaya mereka menjadi lebih bertanggungjawab dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.  Di samping itu, guru-guru  juga perlu mendidik dan memberi kesedaran kepada pelajar tentang kesan buruk apabila terlibat dengan lumba haram dan masalah jenayah yang lain.  Oleh yang demikian, pelajar akan mendapat kesedaran dan maklumat mengenai gejala lumba haram.

Langkah mengatasi : Keluarga ( Ainn - 204487 )

 


Ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah kegiatan lumba haram sebelum keadaan menjadi lebih parah.  Hal ini demikian kerana mereka merupakan individu yang paling dekat dengan anak-anak kerana merekalah yang membesarkan anak-anak.  Bagi mengatasi masalah ini, mereka perlu sentiasa mengawal pergerakan dan memberi lebih perhatian kepada anak-anak mereka.  Mereka  juga perlu selalu mengambil berat tentang pergaulan anak-anak serta memantau pergerakan anak-anak mereka serta tidak terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak.  Disamping itu, ibu bapa harus mengetahui  rakan- rakan anak mereka supaya tidak tersalah memilih kawan.  Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mementingkan kerjaya masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka dalam mendidik anak-anak serta perlu meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak supaya anak-anak tidak berasa kesunyian dan disisihkan oleh ibu bapa mereka sendiri.  Selain itu, ibu bapa juga harus menerapkan pendidikan agama dan nilai-nilai murni kepada anak-anak sejak dari kecil lagi agar mereka tahu untuk membezakan perkara yang baik dan buruk apabila dewasa.

Kesan : Negara (Hamka - 204485)


Remaja merupakan aset penting kepada negara kerana mereka bakal mentadbir dan memimpin negara pada masa hadapan.  Oleh itu, penglibatan remaja dalam gejala lumba haram sangat membimbangkan semua pihak kerana masalah ini semakin hari semakin berleluasa.  Hal ini boleh mengakibatkan negara mengalami masalah kekurangan tenaga kerja muda yang berkualiti untuk berkhidmat kepada negara pada masa hadapan kerana ramai remaja pada masa kini terlibat dengan gejala sosial yang akan memusnahkan masa depan mereka.  Oleh sebab itu, secara tidak langsung ekonomi negara sukar berkembang kerana kurangnya pekerja muda yang mahir untuk membangunkan dan memajukan negara. 

Kesan : Masyarakat (Hanim-200131)



Masalah lumba haram yang semakin berleluasa turut memberi kesan secara tidak langsung kepada masyarakat, terutamanya kepada pengguna jalan raya yang lain.  Hal ini demikian kerana aktiviti lumba haram yang dilakukan di jalan raya boleh membahayakan serta mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain apabila terdapat golongan " mat rempit " menunggang motorsikal secara berbahaya dan melanggar peraturan jalan raya.  Perbuatan "mat rempit" yang menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya  tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain turut menyebabkan pengguna jalan raya yang lain berada dalam keadaan terancam dan tidak selamat.  Keadaan ini seterusnya akan meningkatkan kadar kemalangan jalan raya dan menyebabkan banyak nyawa yang terkorban akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh "mat rempit".  Di samping itu, sekiranya terdapat sekumpulan "mat rempit" yang berleluasa di sesuatu tempat, pengguna jalan raya di kawasan itu berisiko untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana mereka tidak mempedulikan keselamatan orang lain.

Kesan : Individu ( Hasanah - 204036 )



 Remaja yang melibatkan diri dalam lumba haram kebiasaanya terlibat dalam kes-kes jenayah yang lain.  Sebagai contoh, kes ragut, rogol dan pergaduhan.  Selain itu, lumba haram turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes kecurian kenderaan terutamanya motorsikal dan kereta.  Perlumbaan haram ini turut melibatkan maruah wanita kerana mereka akan menjadikan wanita sebagai pertaruhan apabila memenangi sesuatu perlumbaan.  Wanita yang dipertaruhkan turut digelar sebagai " bohsia " atau " cikaro ".  Situasi ini turut menyebabkan gejala keruntuhan akhlak dan maksiat dalam kalangan remaja yang serius.  Hal ini demikian kerana selain menyediakan hadiah wang yang sememangnya berkaitan dengan perjudian, penganjur lumba haram turut menyediakan " bohsia " untuk ditiduri.

Punca : Media Massa (Azrah-204519)

        


Pada masa kini, banyak saluran media elektronik dan media cetak seperti televisyen, internet, majalah dan sebagainya yang memaparkan rancangan atau filem yang bertemakan lumba haram seperti Remp-It, Evolusi KL Drift, Adnan Sempit dan banyak lagi.  Filem-filem tersebut memaparkan "mat rempit" melakukan aksi-aksi berbahaya di atas jalan raya serta gejala sosial yang berlaku dalam dunia "mat rempit" seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.  Keadaan ini menyebabkan remaja mudah meniru aksi-aksi  berbahaya yang dipaparkan dalam filem-filem tersebut dan seterusnya mengaplikasikan aksi-aksi itu ketika mereka menunggang motosikal di jalan raya.  Hal ini demikian kerana pihak-pihak yang terlibat dengan industri perfileman tidak peka dengan keadaan sekeliling dan isu semasa yang melibatkan aktiviti tidak bermoral yang dilakukan oleh remaja, malah semakin rancak memaparkan isu lumba haram dengan menerbitkan banyak filem berkaitan dengan isu tersebut.  Keadaan ini boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.  Disamping itu, penerbit filem menyatakan bahawa mereka menerbitkan filem bertemakan lumba haram supaya dapat memberi kesedaran kepada remaja agar tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram.

Punca : Keluarga (Liyana- 204321)

         

Kesibukan ibu bapa dengan kerjaya masing-masing dan mencari rezeki menyebabkan mereka  tidak dapat  meluangkan masa bersama anak-anak serta mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.  Situasi ini akan menyebabkan anak-anak berasa kesunyian dan seterusnya memberontak untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka.  Apabila ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak, mereka akan mencari kawan untuk meluahkan perasaan serta tekanan yang dihadapi.  Mereka berpendapat bahawa  rakan-rakan lebih memahami perasan dan juga masalah mereka berbanding dengan ibu bapa kerana ibu bapa lebih mementingkan wang dan kerjaya masing-masing daripada mengambil berat terhadap anak-anak.  Namun demikian, sekiranya tersalah memilih kawan, mereka akan mudah terlibat dengan aktiviti sosial.  Oleh itu, kegagalan  ibu bapa  dalam mengawal dan kurang memberi perhatian  untuk mengikuti perkembangan anak-anak menyebabkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang boleh merosakkan masa depan mereka.  Di samping itu, ibu bapa juga tidak menitikberatkan pendidikan agama kepada anak-anak yang perlu diserap dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi supaya mereka dapat membezakan yang baik dengan yang buruk.  Oleh hal yang demikian, kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja pada masa kini mudah terjebak dengan masalah sosial.

Monday, August 16, 2010

Punca : Individu (Afiza - 204591)

 


          Antara punca yang menyebabkan remaja pada masa kini terlibat dengan gejala sosial seperti lumba haram adalah disebabkan oleh sikap remaja itu sendiri yang mempunyai perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru sangat tinggi terutamanya apabila dicabar oleh rakan-rakan mereka.  Remaja pada masa kini pantang dicabar untuk melakukan sesuatu serta bertindak terburu-buru tanpa memikirkan kesan buruk akibat daripada perbuatan tersebut.  Apabila dicabar oleh rakan-rakan, mereka terus menyahut cabaran tersebut tanpa berfikir panjang tentang baik ataupun buruk perbuatan tersebut kerana tidak mahu dianggap sebagai pengecut oleh rakan-rakan mereka.  Selain itu, mereka juga ingin menunjukkan kehebatan diri masing-masing dengan membuat pelbagai aksi berbahaya seperti " wheelie ", " wikang ", "pereng/corner ", " superman ", dan sebagainya.  Mereka akan mendapat kepuasan setelah berjaya  melakukan aksi-aksi tersebut kerana dapat membuktikan kepada rakan-rakan mereka bahawa mereka seorang yang berani dan tidak takut akan cabaran yang diberi.  Di samping itu, mereka berasa seronok apabila menjadi perhatian dan tumpuan  rakan-rakan rempit yang lain atau perempuan yang lebih dikenali sebagai " minah rempit ".

Saturday, August 14, 2010

Pendahuluan (Farah-204294)

lumba haram8

Lumba haram boleh diklasifikasiksan sebagai perlumbaan bermotor yang melibatkan remaja secara berkumpulan atau secara beramai-ramai.  Perlumbaan ini biasa dilakukan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.  Aktiviti ini biasanya dilakukan pada waktu malam secara beramai-ramai kerana pada waktu itu keadaan jalan raya tidak sesak dengan kenderaan dan seterusnya memudahkan pelumba haram melakukan perlumbaan.  Pelumba haram juga digelar sebagai "mat rempit"  dan sering mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising daripada enjin motosikal serta cara mereka menunggang motosikal yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.  Selain itu, kenderaan bermotor yang digunakan oleh " mat rempit " biasanya telah melalui proses pengubahsuaian pada beberapa bahagian tertentu.  Sebagai contoh, pengubahsuaian dilakukan pada bahagian enjin, ekzos, tayar dan sebagainya supaya menjadi lebih laju dan seterusnya mereka dapat memenangi perlumbaan yang diadakan.  Di samping itu, sekiranya seseorang "mat rempit" telah memenangi perlumbaan haram, mereka akan memperoleh habuan seperti wang tunai dan perempuan sebagai ganjaran kerana dapat menewaskan "mat rempit" yang lain.

Followers